Marhalah Puasa : Dimana kita??

Bulan Ramadhan hampir lebuhkan tirai,hanya tinggal beberapa hari sahaja menjelang Syawal. Di radia-radio dan televisyen sudah berkumandang lagu-lagu raya yang kadang-kadang membuatkan jiwa ini menangis sendirian. Masakan tidak, Ramadhan yang ditunggu-tunggu selama 11 bulan akhirnya akan pergi tidak lama lagi. Belum puas rasanya beribadat pada bulan tarbiyyah ini. Seolah-olah aku baru semalam mendengar pengumuman tarikh bulan puasa.

Pagi tadi,aku membelek-belek terjemahan kitab Sair as-Salikin karangan al-‘Allamah al-‘Arifbillah asy-Syaikh ‘Abdus Shomad al-Falimbani.Aku terus ke halaman hadapan mencari bab yang menceritakan hal-hal yang berkaitan dengan puasa. Dalam kitab tersebut, pengarang menjelaskan dengan panjang lebar berkaitan dengan peringkat-peringkat puasa.

صل في أسرار الصوم وشروطه الباطن

Ini Satu Fashal Pada Menyatakan Rahasia Puasa Dan Menyatakan Segala Syaratnya Yang Bathin

Ketahui olehmu, hai orang yang menjalani jalan akhirat dan jalan kepada Allah Ta’ala, bahwa adalah bagi puasa itu 3 darjat:

Darjat Pertama
- Puasa orang yang awwam yakni puasa kebanyakkan manusia yaitu menegahkan ia daripada makan dan minum dan jima’ [bersetubuh] dan menahan daripada segala yang membatalkan puasanya seperti yang tersebut pada fashal yang lalu

Darjat Kedua
- Puasa orang yang khawwas iaitu puasa orang yang sholihin dan orang yang muttaqin iaitu menegahkan segala yang tersebut daripada yang pertama itu [seperti diatas] dan menegahkan pula akan segala anggotanya daripada berbuat ma’siat dan daripada berbuat yang sia-sia yang tiada memberi manfaat kepada akhirat dan hasil kesempunaan puasa mereka itu dengan 7 perkara:

(Pertama) memejamkan kedua matanya dan menegahkan keduanya itu daripada melihat kepada suatu yang mubah yang membimbangkan hatinya dari dhikruLlah Ta’ala dan daripada ingat kepada Allah.

Sabda Rasulullah S.A.W

النظر سهم مسموم من سهام إبليس لعنه الله، فمن تركه خوفا من الله آتاه الله إيمانا يجد حلاوته في قلبه – رواه الحاكم، صحيح (العراقي

Ertinya: Melihat dengan syahwat itu iaitu satu panah yang dibubuh racun daripada beberapa panah iblis, maka barangsiapa meninggalkan melihat itu kerana takut akan Allah Ta’ala, nescaya memberi akan dia oleh Allah Ta’ala akan iman yang mendapat akan manis iman itu di dalam hatinya.


(Kedua) memelihara lidah:
• daripada perkataan yang haram dan
• daripada perkataan yang sia-sia yang tiada memberi manfaat di dalam akhirat dan
• memeliharakan pula akan lidah daripada berdusta dan
• daripada mengumpat akan orang dan
• daripada mengadu-ngadu akan orang dan
• memelihara pula akan dia daripada segala perkataan yang keji-keji dan
• memelihara pula akan dia daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan orang dan
• memelihara daripada memaki orang.

Dan sayogianya hendaklah orang yang puasa itu
• melazimkan diam dan
• masyghul [sibuk] ia dengan membanyakkan dhikrullah Ta’ala dan
• membanyakkan membaca al-Quran.

Dan kata Mujahid R.A

خصلتان يفسدان الصيام الغيبة والكذب


Ertinya: 2 perkara membinasakan ia akan puasa: (pertama) mengumpat-umpat akan orang dan(dua) berdusta.

Dan sabda Rasulullah S.A.W :

إنما الصوم جنة، فإذا كان أحدكم صائما فلايرفث ولايجهل، وإن امرؤقاتله أو شاتمه فليقل إني صائم، إني صائم

Ertinya: Hanyasanya puasa itu perisai. Maka apabila ada seorang kamu puasa, maka jangan mengerjakan suatu yang sia-sia dan jangan berbuat akan perbuatan orang yang jahil. Dan jika ada seorang hendak membunuh akan dia atau memaki akan dia maka hendaklah ia berkata bahwasanya aku puasa, bahwasanya aku puasa. (Hadits Muttafaqun ‘alaih). Maka jangan dilawan akan orang itu.

(Ketiga) sayogia bagi orang yang puasa itu memeliharakan telinganya daripada mendengar perkataan yang haram dan perkataan yang makruh dan memeliharakan telinganya daripada mendengar perkataan yang sia-sia yang tiada memberi manfaat di dalam akhirat.

Dan sabda Rasulullah S.A.W

المغتاب والمستمع شريكان في الإثم


Ertinya: Orang yang mengumpat akan orang dan orang yang mendengar akan dia itu bersekutu keduanya itu pada berdosa (Hadits riwayat ath-Thabrani, dhaif - al-‘Iraqi)

(Keempat) Sayogianya bagi orang yang puasa itu memeliharakan tangannya dan kakinya daripada segala yang diharamkan dan segala makruh dan segala yang sia-sia, tiada memberi manfaat di dalam akhirat.

(Kelima) memeliharakan perut pada ketika waktu berbuka itu daripada memakan makanan yang haram atau memakan yang syubhat. Maka tiada faedah bagi puasa, iaitu meninggalkan daripada makan yang halal kemudian maka berbuka dengan makanan yang haram. Maka adalah misal orang yang puasa itu seperti misal orang yang berbuat mahligai pada hal ia merobohkan negeri kerana makanan yang halal itu memberi mudharat ia dengan memakan banyak akan dia dan tiada memberi mudharat ia dengan makan sedikitnya. Dan puasa itu mensedikitkan makan yang halal, iaitu ubat yang memberi manfaat bagi hati dan membanyakkan akan dia itu membinasakan akan hati dan memakan yang haram itu membinasakan agama.

Dan sabda Rasulullah S.A.W:

كم صائم ليس له من صومه إلا الجوع والعطش


Ertinya: Beberapa daripada orang yang puasa padah al tiada baginya daripada puasanya itu melainkan lapar dan dahaga jua.

Maka kata ulama [dalam menjelaskan maksud hadits diatas] orang itu ialah orang yang berbuka dengan memakan yang haram. Dan kata setengah ulama, iaitu menahan daripada memakan yang halal dan berbuka dengan daging manusia dengan mengumpat-umpat akan orang dan mengumpat itu haram. Dan kata setengah ulama iaitu orang yang tiada memelihara akan segala anggota daripada yang haram yang membawa kepada dosa.

(Keenam) Sayogianya bahwa jangan membanyakkan pada ketika berbuka itu dengan memakan yang halal sekira-kira memenuh perutnya,

kerana
Dan sabda Rasulullah S.A.W:

ماملأابن آدم وعاء شرا من بطنه


Ertinya: Tiada memenuh oleh anak Adam akan suatu tempat yang terlebih jahat daripada memenuh perutnya dengan memakan yang halal.

Ini kerana maksud dengan puasa itu iaitu hendak mengurangkan makan supaya dhoif syahwat nafsunya dan syahwat syaitannya, maka jika dihimpunkan makanan yang pagi-pagi dan makanan yang petang-petang itu dengan sekali maka pada ketika berbuka puasa itu, maka tiada faedah puasanya itu. Jadi tiada manfaat puasanya itu melainkan dengan sedikit daripada memakan yang halal kerana mengurangkan makan itu meringankan tubuh pada berbuat ‘ibadat dan berbuat sembahyang tahajjud pada malam hari dan merajinkan mengerjakan wiridnya dan dhikirnya hingga terang hatinya.

(Ketujuh) Sayogia bahwa adalah hatinya kemudian daripada berbuka itu berulang-ulang antara khauf dan raja’ yakni berulang-ulang antara takut akan Allah Ta’ala dan antara harap akan Allah Ta’ala kerana tiada diketahui adakah diterima akan puasanya itu, maka iaitu daripada orang yang muqarrabin atau ditolongkan akan puasa itu atasnya, maka iaitu daripada orang yang dimurkai Allah Ta’ala. Dan seyogianya ia menghadirkan yang demikian itu pada ketika kemudian daripada tiap-tiap ‘ibadat yang lain daripada puasa itu. والله أعلم

DARJAH KETIGA
Puasa orang khawwasul khawwas iaitu puasa orang yang muqarrabin yang ‘arifin iaitu menahan hati daripada mencita-citakan dunia dan memikirkan akan dia dan mengosongkan rahsia yang di dalam hati [sirr] daripada barang yang lain daripada Allah Ta’ala. Dan sentiasa hatinya itu syuhud kepada Allah Ta’ala dan batal puasanya itu dengan memikirkan barang yang lain daripada Allah Ta’ala dan yang lain daripada negeri akhirat. Demikian lagi batal puasa itu dengan memikir akan pekerjaan dunia, melainkan jika ada dunia itu membawa kepada manfaat akhirat dan jadi bekal baginya di dalam akhirat, maka iaitu tiada dinamakan dunia.

Kerana inilah kata ulama ahlul bathin:


من تحركت همته بالتصرف في نهاره لتدبر ما يفطر عليه كتبت عليه خطيئة


Ertinya: Barangsiapa bergerak cita-citanya dengan berbuat di dalam harinya itu kerana membicarakan sesuatu yang akan dimakannya pada ketika berbukanya itu, nescaya disurat atasnya akan dosa.

Dan yang demikian itu kerana kurang percaya dengan anugerah Allah Ta’ala dan kemurahanNya pada memberi rezqi akan dia dan kurang yaqin ia dengan rezqinya yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala.

Dan darjat puasa yang ketiga iaitu martabat anbiya’ dan orang-orang siddiqin dan orang-orang muqarrabin yang ‘arifin, kerana cita-cita hati mereka itu semata-mata berhadap kepada Allah Ta’ala dan berpaling hati mereka itu daripada segala yang lain daripada Allah Ta’ala dan telah masuk mereka itu di dalam makna firman Allah:

قُلِ ٱللَّهُ ثُمَّ ذَرْهُمْ فِي خَوْضِهِمْ يَلْعَبُونَ


Ertinya: Ucap olehmu akan Allah Ta’ala kemudian maka tinggalkan olehmu akan manusia di dalam pekerjaan mereka itu pada hal bermain-main mereka itu. (Surah al-An’am: 91)

Begitulah ulasan yang panjang oleh pengarang kitab berkaitan dengan marhalah puasa.

Setelah sekian lama kita berpuasa sejak kita bermula kanak-kanak sehingga ke hari ini, adakah kita telah mencapai puasa yang tertinggi, atau sekadar puasa seperti mana orang awam berpuasa???

Semoga saat-saat yang masih berbaki ini lagi kita penuhkanlah dengan beramal ibadat dengan seikhlasnya kepada Allah.

"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Ramadhan dan pertemukan kami dengan Malam Lailatul Qadar."

Comments

0 Responses to "Marhalah Puasa : Dimana kita??"

Post a Comment

Sirr al-Asrar

Sirr al-Asrar

Who is Sirr al-Asrar

Kembara Ilmu

1) Tadika Kemas Taiping Perak

2) SAR Nurul Islam Taiping Perak

3) Sk St George 1 Taiping Perak

4) SK Kg Jambu Taiping Perak

5) SMK King Edward 7 Taiping Perak

6) SMKA Sultan Azlan Shah Bota Perak

7) SBPI Gopeng Perak

8) SMKA Sultan Azlan Shah (kembali)

9) SEPAKAT Driving Car

10) Persijilan Maahad Tahfiz Darul Quran KKB Selangor

11) Pondok Baitul Qura' Sg Udang Melaka

12) Allied Health Sciences CFS IIUM PJ Selangor

13) Tallaqi Kitab Ax101 with Us Muhadir

14) Dietetic IIUM Kuantan

Ar-Rijal

Kedai Kopi

Jemput Ziarah

Popular Posts

TETAMU