Pada hari pertama, wartawan tersebut pun makan bersama calon PM yang pertama. Mereka berbual pelbagai topik dan isu. Perbualan itu sungguh hebat, berlangsung lebih 2 jam, penuh rancak dan menarik. Seusainya, beliau ditanya : "Bagaimana dengan makan malam bersama calon PM itu?"
Tanpa teragak-agak beliau menjawab: "Saya mendapat banyak input yang bermanfaat. Tidak syak lagi dialah manusia yang paling bijak dan berkemampuan."
Esoknya, giliran makan malam bersama calon PM yang kedua pula. Mereka juga berbual tentang pelbagai isu dan perkara. Perbualan itu sungguh mesra. Ia juga berlangsung lebih dua jam. Sebaik keluar dari majlis tersebut, dia ditanya : "Bagaimana makan malam dengan calon PM kedua ini?"
Tanpa berfikir panjang dia menjawab : "Sepanjang bersamanya saya merasakan sayalah orang yang bijak dan paling berkemampuan!"
"Jadi, siapa yang saudara rasa layak untuk menjadi perdana menteri?"
"Calon kedua."
"Rasanya saudara kata calon pertama lebih bijak?"
"Bukan itu kriteria utama menjadi seorang pemimpin," kata wartawan itu.
"Kalau bukan itu, habis apa?"
"Seorang pemimpin mesti mampu membuat orang dibawah pimpinannya merasa bijak. Bukannya dia hanya membuat pengikutnya kagum dengan kebijaksanaanya!"
Pengajaran :
Pemimpin yang bijak bukan terletak kepada kepandaian dan kepetahan dalam berpidato dan ketinggian ilmu yang ada, tetapi pemimpin yang bijak adalah mereka yang mampu menilai potensi anak buah dan memaksimumkan potensi yang ada dalam setiap individu yang berada di bawah jagaan mereka.
Jika di lihat di dalam sejarah, tidak ada pemimpin pun yang berjaya atas usaha mereka semata-mata. Sejarah Islam telah membuktikan, para sahabat memainkan peranan yang cukup besar dalam menjayakan usaha Rasulullah s.a.w menyebarkan Islam.
Jika di kaji pada peristiwa hijrah ke Madinah, Rasulullah s.a.w mengoptimumkan kebolehan sahabat-sahabatnya mengikut keupayaan mereka masing-masing supaya misi hijrah ke Madinah berjaya dilaksanakan.
Abu Bakar r.a menjadi peneman yang setia.
Asma' bt Abu Bakar membekalkan makanan.
Abdullah bin Abu Bakar menjadi perisik.
Ali bin Abi Talib penganti tempat tidur Rasulullah s.a.w.
'Abdullah bin Uraiqat menjadi penunjuk jalan.
Sekiranya, pemimpin hanya mampu membuatkan para pengikutnya kagum dengan kebolehan yang ada padanya nescaya suatu hari nanti segala kerja dalam jemaah akan dipikul oleh pemimpin sahaja.
"Pemimpin aku kan hebat, kenapa nak mintak tolong dengan aku yang tak hebat pula??"
Post a Comment