Artikel yang anda baca selepas ini merupakan konflik dalaman yang pada pandangan aku agak menyamai dengan konflik yang berlaku dalam PAS sejak akhir-akhir ini. Semoga artikel ini dapat membuka minda dan memberi manfaat kepada kita semua.
(Peneliti Sejarah Gerakan Islam)
“setiap perkara ada kekurangan dan kelebihan. Kekurangan dijadikan pengajaran dan kelebihan dijadikan azimat perjuangan menempohi cabaran tak terduga pada masa depan”
(Tulisan ditulis pada bulan 12/2008. Bau busuk berpuak dapat dicium pada ketika itu)
Dalam gerakan Islam, perebutan kuasa dalaman tidak dapat dielakkan. Ia merupakan cabaran yang paling dahsyat kepada kepimpinan gerakan Islam. Jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh memusnahkan gerakan Islam itu sendiri.
Dalam makalah ini, kita akan melihat konflik dalaman yang dialami oleh Gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Cabaran dan cara menangani konflik dalaman oleh Ikhwan harus kita tekuni agar mengambil pengajaran untuk mencermin diri. PAS yang dianggap jemaah Islam perlu mencermin diri dan berhati-hati supaya gejala kemusnahan dalam parti tidak muncul dan membarah.
Konflik Penganti Imam Hasan al Banna
Setelah kematian Imam Hasan al Banna, Ikhwan berada dalam keadaan kucar-kacir. Ada beberapa calon utama yang dianggap penganti Hasan al Banna iaitu Saleh Asymawi, Timbalan Mursyidul Aam, Abdul Rahman al Banna, saudara Hasan al Banna, Abdul Hakim Abidin, Setiausaha Agung, Hasan al Baquri dan Mustafa Mukmin. Mustafa Mukmin terkeluar senarai apabila dipecat pada tahun 1950.
Sementara itu, nama Hasan Hudhaibi, seorang Hakim mula diusulkan oleh Munir ad-Dillah, seorang pimpinan Ikhwan yang kaya raya. Ada beberapa sebab, kenapa Hasan Hudhaibi(Hudhaibi mempunyai hubungan peribadi yang erat dengan Imam Hassan al Banna) disaran menjadi Mursyidul Aam. Pertama, beliau berada di luar pimpinan rasmi Ikhwan boleh mengelakkan perpecahan jika calon lain terpilih. Kedua, pemilihan Hasan juga boleh menenangkan Jabatan Kehakiman berkaitan permasalahan pengharaman Ikhwan. Ketiga, merapatkan hubungan Ikhwan dengan istana kerana saudara ipar beliau adalah ketua istana. Bagi senior Ikhwan, ini adalah perlu tetapi keputusan bersifat sementara.
Masalah utama Hasan Hudhaibi ialah gagal membangkitkan kembali pendekatan Hasan al banna terutamanya sikap elit beliau dalam beriadah. Beliau juga jarang melawat cawangan Ikhwan dan enggan menerima gelaran Rais Aam serta hanya sedia menerima gelaran Mursyidul Aam. Hasan al hudhaibi juga menyatakan syarat beliau akan menjawat jawatan Musyidul Aam jika Abdul Kadir Audah dilantik timbalannya. Cadangan ini memalapkan peluang calon-calon lain seperti Saleh Asymawi dan Hasan al Baquri untuk menjawat jawatan tersebut.
Pada 9 September 1952, Ikhwan berada dalam dilema sama ada memilih menjadi organisasi keagamaan atau parti politik. Pada 4 Oktober 1952, Dewan Pendiri mengadakan mesyuarat, Hasan Hudhaibi menyatakan Ikhwan bukan parti politik. Dewan Pendiri menegaskan keinginan mereka untuk mendaftar Ikhwan sebagai parti politik.
Pada 27 November 1953, seramai 21 orang kelompok anti Hudhaibi bergerak ke rumah Hudhaibi bagi mendesak Hudhaibi meletak jawatan. Kemudian mereka merempuh masuk dan menawan Pejabat Ikhwan Pusat. Kemudian Hudhaibi dan kelompok anti Hudhaibi bersetuju mewujudkan jawatan kuasa penyiasatan terhadap pemecatan 4 tokoh terkemuka Ikhwan.
Pada 28 November 1953, pukul 15.00, rapat umum diadakan dan dihadiri oleh kedua-dua kelompok. Dalam pertemuan sumpah ba’aih kepada Hudhaibi dan mengutuk cubaan rampasan kuasa. Pada 29 November 1953, Dewan Pimpinan dan jawatan kuasa displin telah memutus tiga daripada empat adalah dalang. Pada 9 Disember 1953, Saleh Asymawi, Muhammad al Ghazali dan Abdul Aziz Jalal dipecat daripada Ikhwan.
Selepas peristiwa ini, Ikhwan telah dibersihkan oleh pengaruh senior dan Biro Rahsia oleh Hudhaibi. Dalam usaha menipis pengaruh Biro Rahsia, Hudhaibi melantik Yusof Tala’at untuk menjadikan Biro Rahsia sebagai organisasi terbuka dan terserap dalam usrah.
Perubahan Kepimpinan
Selepas kematian Imam Hasan al Banna, Hasan al Hudhaibi dilantik Mursyidul Aam kedua. Beliau ingin pasukan pembantu yang kuat, oleh itu beliau juga merombak Dewan Pimpinan Ikhwan yang dianggotai oleh senior dengan generasi baru Ikhwan yang sealiran dengan beliau. Tindakan beliau dibantah oleh ahli senior Ikhwan. Hasan Hudhaibi gagal menjalankan hubungan personal dengan ahli senior Ikhwan dan gagal mencipta kepercayaan dalam kalangan senior Ikhwan.
Para senior Ikhwan menyatakan ketaatan mereka kepada Hasan al Banna tetapi tidak kepada Hasan al Hudhaibi. Kesilapan Hasan al Banna ialah tidak menunjuk dengan tepat siapa pengantinya dan tidak melatih bakal pengantinya serta tidak melebar pengaruh bakal penganti beliau dalam Ikhwan. Dalam PAS, kita melihat Tuan Guru Abdul Hadi dilatih menjadi Timbalan Presiden PAS dan mempunyai pengaruh yang tersendiri dalam parti. Ini antara kekuatan Tuan Guru Abdul Hadi disamping karismatik beliau dalam pidato dan keluasan ilmu agama.
Perihal ini tidak dialami oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS sekarang. Kita melihat watak beliau seakan-akan watak Hasan al Hudhaibi dalam Ikhwan. Pengaruh Ustaz Nasharuddin tidak seperti Tuan Guru Abdul Hadi, Tuan Guru Fadzil Nor dan Ustaz Nakhaie yang ada jaringan pengaruh. Ustaz Nakhaie sebagai contoh antara ideolog yang pakar dalam pembinaan kertas kerja dan pengaruhnya dalam cerdik pandai PAS. Beliau membawa beberapa cerdik pandai seperti Dr Puad Zakarshi, Saufudin Nasution dan Johan Che Pa dalam PAS keluar parti.
Jika hal ini tidak ambil berat, Ustaz Nasharudin bakal mengalami nasib Hasan al Hudhaibi yang sukar mengawal pentadbiran Ikhwan dan berlakunya cubaan rampasan kuasa daripada senior yang berpengaruh. Sebaiknya, sebagai Pengerusi Lujnah Tarbiyyah PAS, Ustaz Nasharuddin mengorak langkah melebarkan pengaruh dalam parti.
Perbedaan pendapat Dalam Politik
Pada tahun 1947, berlaku krisis di antara Imam Hasan al banna dengan Timbalannya, Ahmad As Sukkari. Permasalahan timbul ekoran perbezaan pendapat dalam hubungan antara Ikhwan dengan parti Wafd. Ahmad As Sukkari telah membawa satu gagasan alternatif dimana mengesa Ikhwan bergabung dengan parti Wafd, sebuah parti sekular. Parti Wafd merupakan parti yang mendapat sokongan majoriti rakyat Mesir. Ahmad As Sukkari mengambar pengabungan Ikhwan memenuhi keperluan spritual parti Wafd.
Gagasan Ahmad As Sukkari melangkau saranan Hasan al Banna selaku pimpinan nombor satu Ikhwan yang mahu dilakukan perikatan di antara Ikhwan dengan parti Wafd dengan syarat parti sekular itu memenuhi prinsip perjuangan Ikhwan. Perbezaan ini semakin membarah, dengan pendapat Ikhwan adalah alat politik golongan istana dan cadangan pengurangan kuasa mutlak Hasan al Banna.
Tahun 1947, serangan musuh terhadap Hasan al Banna dari luar dan cabaran dalaman sangat menggugat kepimpinan Ikhwan. Hasan al Banna membawa kes Ahmad As Sukkari ke Dewan Pendiri Ikhwan. Dewan Pendiri sepakat dengan usul memecat Ahmad As Sukkari.
Dalam PAS, kita harus mengikut dasar yang diputuskan oleh Muktamar, kemudian Majlis Syura dan Jawatankuasa Pusat dan akhirnya Biro Politik(lujnah siasah). Dari segi politik, jawatankuasa Pusat lebih berperanan menentukan hala tuju PAS. Semasa isu Muzakarah, kita memberi ucapan tahniah kerana Tuan Guru Abdul Hadi tidak menggunakan kelebihan sebagai presiden untuk menidakkan saranan Mursyidul Aam. Jawatan Presiden dilantik, manakala jawatan Mursyidul adalah lantikan. Kalau diikut wajarnya, saranan Mursyidul Aam adalah keputusan majlis syura. Jika Majlis syura tidak mengadakan perbincangan, pendapat beliau hanyalah saranan peribadi.
Jawatan Mursyidul Aam dalam PAS tidak berkuasa dan ia hanya sebagai pemimpin spiritual sahaja. Kekuatan Mursyidul Aam PAS sekarang, Tuan Guru Abdul Aziz ialah kekuatan peribadi Tuan Guru sendiri. Sebab itu dalam PAS, isu memperkasakan Majlis Syura terus bergema.
Group Rahsia Menggugat Kepimpinan
Salah satu masalah Imam Hasan al hudhaibi ialah kewujudan Biro Rahsia Ikhwan yang mengingkari arahan pimpinan terbuka Ikhwan. Biro rahsia berusaha untuk mengulingkan kepimpinan Hasan Hudhaibi. Fenomena jemaah dalam jemaah ini akan menjejas perpaduan gerakan Islam perlu dielakkan. Setiap orang atau kumpulan dalam gerakan Islam harus berpaksikan perlembagaan organisasi supaya tidak terbabas.
Biasanya, kewujudan kumpulan ini bertujuan mengukuhkan kepimpinan puak tertentu dalam sesebuah organisasi(fenomena jemaah dalam jemaah). Dalam pemilihan UMNO, Team Wawasan pimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim telah berjaya mendesak Tun Ghafar Baba agar berundur daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO. Sementara itu, group Islam telah berjaya memberi tekanan kepada Dipertua PAS, Dato Asri agar melepaskan jawatannya.
Hasan al Hudhaibi cuba membanteras kumpulan ini tetapi gagal. Pada satu masa, Sayid Fayiz, tokoh nombor dua dalam Biro Rahsia cuba mendedahkan data-data rahsia kepada Hasan al Hudhaibi tetapi perkara malang telah berlaku apabila Sayid Fayiz mati akibat ledakan bom. Tindakan terakhir Hasan al hudhabi untuk menghapuskan atau meneutralkan Biro Rahsia dengan memperkasakan usrah.
Dalam PAS, kumpulan tertentu wujud mungkin berunsur seperti kumpulan pro pakatan, pro anwar, alumni JIM atau ABIM, pro Mursyidul Am, pro presiden, kumpulan Erdogan, kumpulan Erbakan, kumpulan universiti malaya dan sebagainya. Grup rahsia seumpama ini akan terus wujud, cuma ia perlu disatu melalui satu fikrah dan demi kepentingan dakwah dan parti.
Kronisme Dalam Organisasi
Dalam Ikhwan, kepercayaan antara satu sama lain merupakan satu nadi penting. Sebab itu jawatan penting didominasi oleh famili Hasan al Banna seperti Muhammad Said Ramadhan al Buti, Abdul Rahman al Banna dan Abdul Karim Manshur. Dalam PAS, Dato Asri pernah menjadi parti ini sebagai parti keluarga dengan jawatan Ketua Muslimat dipegang oleh isterinya. Pada era Tuan Guru Nik Abdul Aziz, lihat jawatan yang dipegang oleh keluarga beliau seperti jawatan Nik Muhd Abduh, IR Arif Fahmi dan Abdul Fatah. Bagaimana pula Ustaz Khalil, anak Tuan Guru Abdul Hadi?. Sebolehnya jawatan dalam keluarga perlu dielak daripada didominasi oleh kroni atau ahli keluarga masing-masing.
Pada akhir tahun 1945, Setiausaha Agung Abdul Hakim Abidin(saudara ipar hasan al banna) menyalah gunakan kuasa terhadap beberapa ahli Ikhwan(persoalan Baitul Muslim). Salah seorang Timbalan Mursyidul Aam, Ibrahim Hasan ditugaskan menyiasat kes tersebut. Pada pertengahan 1946, maklumat tersebut bocor kepada anggota Ikhwan. Usul pemecatan Abidin atau 4 anggota Dewan Pimpinan yang menuduhnya.
Imam Hasan al Banna telah menubuh jawatankuasa menyiasat. Jawatankuasa ini tidak ada kata sepakat tetapi mengusulkan agar Abidin dipecat. Dewan Pimpinan memutus dengan undian 8 berbanding 1 suara untuk memecat Abidin. Keputusan dibawa kepada Dewan Pendiri. Imam Hasan al Banna telah membentuk jawatankuasa baru. Dewan Pendiri dengan penyiasatan jawatankuasa baru memutuskan Abidin dibebaskan daripada tuduhan. Sebagai janji Imam Hasan berjanji menyuruh Abidin berundur secara berperingkat bagi menjaga maruah Ikhwan dan Imam Hasan al Banna. Namun apabila isu diri reda, Imam Hasan al Banna mengusulkan Dewan Pimpinan menolak pengunduran diri Abidin. Akibatnya, Ibrahim Hasan mengundur diri sebagai protes pada tahun 1947.
Ingkar Arahan Pimpinan
Dewan Revolusi telah meminta Ikhwan menghantar 3 orang wakilnya ke dalam kabinet. Antara pimpinan Ikhwan yang dihantar ialah Hasan al Baquri. Selepas berlaku krisis di antara Ikhwan dengan Dewan Revolusi, Ikhwan menarik balik sokongan terhadap Dewan Revolusi. Ikhwan mengarah agar Hasan al Baquri berundur daripada kabinet tetapi beliau enggan. Hasan al Baquri meletak jawatan dalam Ikhwan.
Semasa PAS ditendang keluar dari BN, ahli PAS yang menjawat jawatan di kementerian telah meletak jawatan. Jikalau Pakatan Rakyat berkuasa di peringkat kerajaan pusat atau EXCO PAS yang berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat diarah keluar atau meletak jawatan, sanggupkah mereka?. Adakah mereka sanggup mengingkari arahan parti atau setia dalam jawatan jika berlaku krisis antara Pakatan Rakyat dengan PAS?.
Persoalan yang penulis kemukakan ini untuk membina sikap berhati-hati agar PAS tidak termakan gula-gula yang diumpan oleh musuh Islam yang realiti atau munafik.
CARA MENANGANI KONFLIK DALAMAN
PERKASAKAN USRAH
Antara kaedah Hasan al Hudhaibi membendung Biro Rahsia ialah memperkasakan kegiatan usrah. Usrah sangat penting dalam penyebaran dakwah terutamanya membentuk fikrah, hala tuju pemikiran dan indoktrinisasi ahli Ikhwan. Dalam usrah juga, Hasan al Hudhaibi menempatkan orang yang mendukung kepimpinannya agar Ikhwan sentiasa stabil daripada ancaman politik dalaman. Aktiviti usrah pada zaman Hasan al Hudhaibi berjaya meneutralkan pihak penentang beliau.
Di Malaysia pula, fenomena tarbiyyah cukup popular pada era 1980an dan mula mengendur pada akhir 1990an. Pendekatan politik lebih mendominasi berbanding pendekatan tarbiyyah. Sebelum kebangkitan era kepimpinan ulama, PAS pernah didominasi oleh pendekatan politik oleh pemimpin orde lama, Dato Asri, seorang penganut nasionalisme. Beza ketika itu antara pemimpin grup Islam dan pemimpin orientsasi politik nasionalisme ialah kehadiran mereka dalam usrah. Mereka telah lama berkecimpung dalam PAS tetapi tidak berusrah.
Kini suasana pra kepimpinan ulama mula kembali dalam PAS. Budaya usrah semakin menipis terutamanya apabila pemimpin sibuk dalam politik sedang asas politik gerakan Islam adalah usrah. Jika kemaraan budaya politik ini tidak dibendung, PAS akan menjadi parti yang rapuh dan akhirnya iman dan taqwa tidak menjadi perkara yang utama lagi dalam PAS.
BUANG KEMUNCUP PERJUANGAN
Antara kaedah yang paling pedih tetapi terpaksa dilakukan jika keadaan tidak terkawal ialah membuang(baca: memecat) kemuncup yang menganggu itu. Tindakan ini mungkin memecah belah gerakan Islam tetapi risiko perlu dihadapi.
Dalam Ikhwan, Mursyidul Aam, Hasan al Hudhaibi bersama Dewan Pendiri pernah memecat tokoh tersohor Ikhwan seperti Saleh Asymawi, Hasan al Baquri, Sayyid Sabiq dan Muhammad al Ghazali. Tokoh-tokoh ini cukup berpengaruh tetapi mereka menerima kegagalan merampas kuasa dengan meneruskan dakwah Ikhwan melalui cara tersendiri tanpa menyertai pihak musuh gerakan Islam kecuali Hasan al Baquri berada dalam kerajaan Mesir.
Hasan al hudhaibi pernah menyatakan tentang perihal pemecatan tokoh Ikhwan tersebut; ‘mereka dipecat bukan kerana kelemahan komitmen kepada agama. Boleh jadi salah seorang daripada mereka lebih baik daripada kita. Tetapi jamaah mempunyai tata tertib yang harus dijaga dan dilaksana. Oleh kerana mereka melanggar tata tertib, mereka diberhenti, agar barisan tetap lurus dan rapi’.
Kemuncup yang menganggu harus dicabut dan dibuang agar kepimpinan tidak serabut dengan permasalahan dalaman. PAS juga pernah memecat Ustaz Latif, seorang tokoh PAS yang berpengaruh di Besut, Terengganu dan pernah juga membicarakan kumpulan 13 yang menggugat tata tertib parti. Jika Ir Khalid Samad, Ir Saari Sungib, Kamarudin Jaafar, Dr Hatta, Mustafa Ali, Dr Hassan Ali atau Husam Musa cuba menggugat parti tanpa prosedur yang tepat atau di luar perlembagaan parti, buang sahaja mereka(saya harap andaian banyak pihak ini adalah tidak tepat). Penulis kagum dengan sikap Ir Khalid Samad dan Ir Saari Sungip (tokoh ini telah masak fikrah Islamnya) apabila Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Hasan Ali mengugur mereka dalam Dewan Harian Negeri, dimana mereka tidak menentang dan redha dengan keputusan tersebut.
Dewasa ini, jika ada kumpulan atau tokoh tertentu yang cuba menggugat ketenteraman gerakan Islam, proses pembersihan kemuncup ini boleh dilakukan. Jawatankuasa Tata Tertib tidak perlu bimbang terhadap cabaran kumpulan atau tokoh ini. Walau bagaimanapun, proses pemecatan adalah kaedah terakhir jika kompromi sudah tiada.
Ujar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, buanglah kemuncup sambil berjalan. Jangan sesekali berhenti daripada kerja kerana gangguan kemuncup tersebut.
THIQAH KEPIMPINAN
Perjuangan gerakan Islam pada era ini cukup mencabar. Musuh Islam bukan setakat datang secara berdepan tetapi penyusupan ke dalam organisasi Islam itu sendiri. Cabaran semakin bertambah apabila berlaku pengolakkan dalaman gerakan Islam ekoran ketumpulan tarbiyyah dan ketaatan kepada pimpinan.
Ekoran ketumpulan tarbiyyah dan sifat keakuan yang tinggi, para pimpinan dan pengikut gerakan Islam sekarang kehilangan thiqah. Thiqah dijadikan rukun baiah dalam gerakan Ikhwanul Muslimin. Thiqah ialah pengikut yang berlapang dada terhadap pemimpin mereka, pada kemampuan dan keikhlasan mereka, dengan sepenuh rasa ketenangan sehingga menghasilkan rasa kasih, hormat, penghargaan dan ketaatan.
‘maka demi Tuhanmu, mereka(pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya’(Surah al Isra; 52)
Pemimpin adalah sebahagian dari dakwah dan tiada dakwah tanpa pimpinan. Kepercayaan antara pemimpin dan pengikut menentukan kekuatan sistem jamaah, kerapian strategi, kejayaan untuk mencapai matlamat dan kemampuan mengatasi halangan dan kesusahan yang terbentang di hadapannya.
‘taat dan mengucapkan perkataan yang baik adalah lebih baik bagi mereka’. (surah al anfal:46)
Manusia yang ditarbiyyah tidak akan melawan keputusan pimpinan. Walaupun pemimpin lemah, pengikutlah yang menguatkan pemimpin bukannya mengampu atau mengambil kesempatam untuk menjatuhkannya seperti yang dialami oleh Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presiden UMNO sekarang.
Khalifah Abu Bakar adalah manusia paling alim dan warak selepas Rasulullah SAW. Beliau layak menjadi Nabi jika Rasulullah SAW tidak diutuskan ke dunia. Ini nak menunjukkan betapa terbaiknya insan bernama Abu Bakar ini. Walau bagaimanapun, beliau bukan pemimpin hebat dan berkarisma jika nak dibandingkan dengan Umar al Khattab, Abu Ubadah dan Ali Abi Talib. Para sahabat terutama Umar membaiah Abu Bakar sebagai pemimpinnya.
Pada satu ketika, Abu Bakar berselisih faham dengan Umar dalam persoalan mereka yang enggan membayar zakat. Para sahabat yang lain bersetuju dengan cadangan Umar agar tidak memerangi mereka. Apabila Umar melihat Abu Bakar bersungguh-sungguh dengan pendapat memerangi mereka yang enggan membayar zakat, Umar akhirnya menyetujui saranan Abu Bakar.
Imam Hasan al Banna pernah menjawab soalan apabila ditanya siapakah yang paling layak mengantinya jika beliau tiada?’. Jawabnya, lantik pemimpin yang paling lemah di kalangan kamu, kemudian kamu dengar dan taatlah perintahnya. Ia akan menjadi orang yang paling kuat di kalangan kamu.
Kesyahidan imam Hasan al Banna sendiri menguji thiqah pengikut gerakan Islam. Pada saat Ikhwanul Muslimin diasak oleh pemerintah Mesir, pengolakkan dalaman dalam persoalan penganti Mursyidul Aam menghantui gerakan ini. Majlis Syura memutuskan Hasan al Hudaybi dilantik Mursyidul Aam yang baru. Ramai pemimpin Ikhwanul Muslimin membantah. Hasan al hudaybi merupakan ahli baru ikhwan, tiada jaringan pengaruh utuh, elitis dan rapat dengan kerajaan sebelum itu.
Dalam kalangan pemimpin besar Ikhwan ketika itu telah hilang thiqah kepada Mursyidul Aam yang baru. Akibatnya berlaku cubaan rampasan kuasa dalam gerakan Ikhwanul Muslimin oleh puak pendesak yang diketuai oleh Salah Musthafa Ashmawi. Tetapi rampasan ini digagalkan oleh pihak pro Hasan al hudaybi. Puak pro rampasan seperti Salah Ashmawi, Syed Sabiq dan Syeikh Muhammad al Ghazali dipecat daripada Ikhwanul Muslimin pada 9 Disember 1953. Gerakan Ikhwan merelakan pemecatan insan sehebat Sayid Sabiq dan Muhamad al Ghazali demi keutuhan dan perpaduan gerakan Ikhwan.
PAS di Malaysia dalam era kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya Ustaz Nasharuddin Mat Isa akan teruji kepimpinannya. Cabaran ahli parti yang kononnya pro Pakatan Rakyat dan pro Anwar Ibrahim bakal memporak peranda PAS. Pengikut PAS harus memperkuatkan thiqah mereka kepada Presiden dan Timbalan Presiden. Kurangkan bersuara mendahului Presiden demi perpaduan parti.
Pada waktu ini, pengikut PAS harus menjadi Umar untuk memperkuatkan dan menyokong kepimpinan Tuan Guru Haji Hadi dalam memperkasakan PAS. Thiqah harus dipertingkatkan dengan menghilangkan sifat keakuan dan ‘lagak aku seorang yang pandai’.
Thiqah dalam perjuangan sangat penting. Memang tepat apabila Imam Hasan al banna menjadikan ia rukun baiah dalam Ikhwan. Tanpa Thiqah, ia bukan pejuang Islam. Marilah kita kuat thiqah kepada kepimpinan bukannya ikut kepala kita yang bijak ini.
RAPATKAN HUBUNGAN PIMPINAN DENGAN PENGIKUT
Hasan al Banna menggunakan pendekatan tarbiyyah yang bertahap bagi menghasilkan perubahan yang diingini. Tahap tersebut membentuk peribadi muslim, keluarga muslim, masyarakat muslim, pemerintahan muslim, negara Islam, Khalifah Islam dan ustadziyatul alam. Hasan al Banna berusrah, membina katibah dan berceramah di merata tempat dan menziarahi pelbagai cawangan Ikhwan di seluruh Mesir.
Hubungan rapat dapat dijalin melalui usrah dan ziarah ke akar umbi terutamanya cawangan. Presiden dan Timbalan Presiden harus merapati akar umbi agar sokongan terhadap gerakan Islam terus mantap. Pemimpin PAS juga harus mendekati golongan muda dengan asas kesukaan kaum muda iaitu hiburan melalui kesenian Islam, sukan dan aktiviti riadah. Muslimat dan remaja perempuan juga harus diambil kira terutamanya aktiviti kesukaan mereka.
Hubungan dibina harus diprogram melalui dua bahagian iaitu terbuka untuk semua atau tertutup untuk ahli PAS. Perkara ini penting agar setiap objektif program tercapai.
JATUH PIMPINAN MENERUSI PROSEDUR YANG TEPAT
Pimpinan boleh dijatuhkan dengan mengikut lunas-lunas yang tepat dan benar selaras proses musyawarah atau syura dalam parti. Dalam gerakan Islam, ahli atau kumpulan tertentu yang tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan boleh mencabar pimpinan mereka dalam Muktamar.
Dewan Pemuda dan Dewan Ulama PAS yang dipengaruhi grup Islam ala ABIM telah mencabar grup nasionalis dalam PAS yang diketuai oleh Dato Asri, Dipertua PAS ketika itu. Grup Islam telah mencalon Tuan Guru Yusof Rawa untuk menentang Dato Asri dalam jawatan Dipertuan PAS. Walau bagaimanapun, pertandingan tersebut tidak menjadi kenyataan apabila Tuan Guru Yusof menarik diri. Sementara itu, kebanyakan jawatan jawatankuasa Pusat PAS didominasi oleh grup Islam.
Jika ada puak yang bergelar grup Erdogan(Jika benar dakwaan orang) yang ingin mencabar kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi dan Ustaz Nasharuddin, dipersilakan mencabar dalam pertandingan semasa muktamar nanti. Situasi seakan peristiwa 1982 mungkin berlaku dimana jawatan Timbalan Presiden ke bawah ada cabaran. Lakukanlah secara sah dan mengikut prosedur. Apapun keputusan syura atau musyawarah akan teruji jika berlaku pertembungan orde lama dengan orde baru PAS ini. Penulis tertarik dengan formula Tuan Guru Dr Haron Din dalam perebutan jawatan, jika ada pertandingan dan tidak dapat diselesai secara syura, beliau akan menarik diri. Bagi beliau, pemilihan penjawat jawatan itu dengan cara meletak bukan bertanding.
Ahli gerakan Islamlah yang paling berhak mencorak organisasi mereka. Mereka boleh menyuarakan pandangan dan undi mereka dalam muktamar. Jika ahli PAS mahu menghabisi era kepimpinan ulama, mereka berhak melakukan dengan prosedur yang sah. Mereka boleh membawa reformasi baru dalam PAS sebagai contoh mengomongkan era protaz(profesional-uztaz). Dalam demokrasi, setiap pemimpin atau sistem boleh dicabar dengan suara majoriti. Bagi gerakan Islam, sistem atau pimpinan mesti diluruskan mengikut kehendak mereka selagi tidak melanggar lunas-lunas Islam. Contohilah Dewan Muslimat PAS yang melakukan proses demokrasi tanpa mengoncang perpaduan parti.
Dalam Ikhwan, Hasan al Hudhaibi berjaya membersihkan Ikhwan daripada jalur senior yang radikal. Jalur Hasan al Hudhaibi ini kekal dalam Ikhwan sampai hari ini pada era Muhammad Mahdi Akef. Jalur radikal yang tinggal pada hari ialah Dr Yusof Qaradhawi yang berada dalam jalur Syeikh Muhammad al Ghazali, Syed Sabiq dan Saleh Asymawi pada ketika itu. Jalur radikal masih kekal bersemangat Ikhwan di bawah Imam Hasan al Banna berjuang dalam wadah tersendiri demi agama tanpa mengadai prinsip Ikhwan zaman Hasan al Banna.
KESIMPULAN
Konflik dalaman adalah satu lumrah bagi sesebuah organisasi dalam proses mematangkan lagi organisasi tersebut. Perkara yang paling penting ialah bagaimana kita menangani konflik tersebut. Pendekatan menangani konflik perlu mengikut prosedur yang tepat, perlu bertahap, perlu diakui oleh pihak bertentangan dan akhirnya jika tiada kompromi, proses pemecatan boleh dilakukan.
Sumber;
1. Imam Hasan al Banna
2. Tuan Guru Nik Abdul Aziz
3. Richard Paul Mitchell
4. Khozin Abu Faqih
5. Muhammad Sayyid al Wakil
16/12/08
Jalan Bakti, Rantau Perintis, Bandar Jengka.
Post a Comment